Bila Kita Rasa Tidak Cukup

Bila Kita Rasa Tidak Cukup

Ada hari kita tengok cermin dan terasa seperti tiada apa-apa yang istimewa. Kita rasa kita tidak cukup pandai, cantik, baik dan tidak cukup banyak perkara yang lain. Dalam diam, kita bandingkan hidup kita dengan orang lain.

Bila kita rasa tidak cukup, itu bukan bukti kita gagal. Ia mungkin pintu untuk kita kenal diri, dan mula lihat semula dari sudut pandang Tuhan, bukan kaca mata dunia.

Perasaan ‘not enough’ ini bukan kecil. Ia boleh membunuh secara perlahan-lahan, buatkan kita berdiam dalam perbualan dan tarik diri daripada peluang. Akhirnya hati akan berkata, 'Tak apalah, aku memang bukan siapa-siapa.'

Rasa ini kalau dibiarkan, akan membentuk naratif hidup. Kita mula menjalani hari-hari dengan tidak bersemangat, bahkan membawa beban untuk ‘menyamar’. Kita pakai topeng. Kita senyum bila perlu. Tapi dalam hati, kita tahu — kita sedang menipu sebab jauh di dalam, kita tidak rasa cukup untuk dihargai, didengari dan dicintai.

Psikologi menyebut ini sebagai ‘imposter syndrome’. Perasaan di mana seseorang merasakan dirinya tidak layak, walaupun dia memiliki pencapaian. Ia bukan kerana dia tidak mempunyai potensi, tapi disebabkan terlalu lama hidup dalam sistem perbandingan — sehingga semua pencapaian terasa kecil bila dibandingkan dengan orang lain.

Mari kita renung; cukup itu siapa yang tentukan – dunia, standard media sosial, orang sekeliling atau diri sendiri yang terlalu keras menilai diri tanpa belas?

↳˗ˏˋ Tips Healingˊˎ˗ ↴

1. Bila rasa tidak cukup, senaraikan tiga perkara yang Allah beri pada kita yang tidak dimiliki oleh orang lain — bukan untuk rasa hebat, tapi untuk rasa cukup.

2. Tukar bahasa dalaman. Daripada ‘aku takcukup’, kepada ‘aku sedang belajar jadi lebih baik setiap hari’.

3. Kurangkan banding. Bila kita banding, kita akan hilang nikmat melihat keunikan diri.

Related products