11 Kesilapan Ibu Bapa Menyebabkan Anak Ketagih Gajet

11 Kesilapan Ibu Bapa Menyebabkan Anak Ketagih Gajet

Cabaran kita sebagai ibu bapa zaman siber ini adalah apabila kita mempunyai pilihan yang lebih mudah iaitu skrin. Kita tidak perlu lagi bawa puzzle, bawa krayon dan pensel warna, atau bawa dam ular untuk hiburkan anak. Bagi saja gajet. Dalam itu, semua ada. Kan?

Sedar tak sedar, kitalah sebenarnya yang sentiasa mencari jalan mudah, kepuasan yang cepat (instant gratification), dan kelegaan yang cepat (instant relief) untuk diri sendiri. Maka tidak hairanlah, anak-anak kita juga mula mengembangkan budaya yang SAMA. 11 kesilapan biasa yang ibu bapa lakukan sehingga menyebabkan anak ketagih gajet seperti: 

1. Ibu bapa tidak tetapkan peraturan skrin dari awal. Beri anak skrin tanpa peraturan adalah seperti beri anak menggunakan pisau yang tajam tanpa ilmu. Anak bebas gunakan pisau itu untuk potong buah atau tikam orang. Penggunaan skrin tanpa had boleh memudaratkan perkembangan anak secara keseluruhan. 

2. Ibu bapa obses dengan skrin (screen addict). Bagaimana kita mengharapkan anak pandai guna gajet, kalau kita sendiri tidak bijak mengawal penggunaannya? Ramai ibu bapa hari ini menjadikan telefon pintar sebagai pendamping setia mereka dalam banyak keadaan. Ada juga segelintir ibu bapa yang menjadikan bisnes dalam talian sebagai alasan mereka perlu sentiasa peka dengan pesanan yang masuk.

3. Tiada masa berkualiti tanpa skrin. Apabila kebanyakan aktiviti keluarga adalah melibatkan skrin, anak akan perlahan-lahan bergantung kepada skrin. Bukan tidak boleh skrin langsung, tapi janganlah sampai tiada langsung atau terlalu kurang aktiviti yang dibuat bersama, tanpa skrin. Kalau kita perasan, sebenarnya terlalu kurang interaksi mata ke mata dan pergaulan fizikal yang berlaku ketika pendedahan skrin, walaupun ia dilakukan bersama. 

4. Semua benda mahu dirakam dan dikongsi di WhatsApp atau media sosial. Memanglah tidak salah untuk merakam momen bersama anak sebagai kenangan, tapi janganlah setiap masa. Bila kita buat aktiviti dengan anak dan dalam masa yang sama kita merakam, fokus kita sebenarnya lebih kepada proses rakaman tersebut, dan bukan pada anak. Jadi, berpada-padalah.

5. Ibu bapa dedahkan gajet pada anak terlalu awal. Menurut WHO (World Health Organization), anak 18 bulan ke bawah tidak boleh didedahkan dengan skrin langsung, kecuali untuk tujuan panggilan video. Ada  segelintir ibu bapa ‘rasa terpaksa’ memberi bayi mereka tengok telefon atau TV kerana mereka terlalu kerap menangis.  

6. Beri anak kuasa dan buat mereka rasa ‘memiliki’. Apabila ibu bapa beri anak buka kata laluan pada gajet atau cakap pada anak, “Kakak, mama nak pinjam iPad kakak tu sekejap”, anak akan terus sahaja faham bahawa gajet itu dia yang punya. Anak yang rasa berkuasa atau rasa ‘memiliki’ sesuatu perkara, akan lebih susah untuk mengikut peraturan dan had yang ditetapkan.

7. TV dibiarkan terpasang sebagai bunyi latar walaupun tiada sesiapa yang menonton. Menurut Dr Richard Freed, TV sebagai bunyi latar akan memberi kesan yang sama seperti mana anak menonton TV. Ia akan ambil fokus anak dan mendominasi aktiviti otak anak, walaupun anak tengah buat aktiviti lain ketika TV terpasang. 

8. Ibu bapa takut anak bosan. Ramai ibu bapa cenderung beri anak gajet kerana takut anak bosan. Anak cakap, “Bosan la”, terus bagi gajet.  

9. Ibu bapa tidak konsisten dengan peraturan skrin yang ditetapkan. Keadaan ini banyak berlaku tanpa kita sedar. Contohnya, kita harapkan anak ikut peraturan, tapi kita sendiri tidak ikut atau langgar peraturan tersebut.  

10. Ibu bapa tidak sediakan aktiviti lain yang boleh menjadi alternatif kepada gajet. Ramai ibu bapa rasa susah atau mati akal untuk fikirkan aktiviti tanpa skrin yang boleh dibuat bersama anak.  

11. Ibu bapa tidak berinteraksi dengan anak ketika pendedahan skrin. Ramai ibu bapa duduk di sebelah anak dan menonton TV bersama, tapi tidak berinteraksi atau berbual tentang apa yang ditonton.  

Related products