Apabila sebahagian ahli keluargamu berada di dalam salah sebuah bilik di rumah, dan engkau ingin masuk menemuinya, hendaklah engkau meminta izin (terlebih dahulu). Ini supaya engkau tidak melihatnya dalam keadaan yang tidak dia sukai atau dalam keadaan engkau tidak suka melihatnya demikian. Sama sahaja sama ada yang berada di dalam bilik itu orang yang halal (yang boleh dinikahi), mahram (yang haram dinikahi) atau selain mereka seumpama ibu, ayah, anak-anak perempuan atau anak-anak lelakimu.
Imam Malik meriwayatkan di dalam Al-Muwattho, daripada ‘Atho ibn Yasar secara mursal:
Ertinya: Seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم, katanya, “Adakah aku perlu meminta izin daripada ibuku (sebelum masuk ke dalam rumah atau biliknya)?” Rasulullah صلى الله عليه وسلم menjawab, “Ya.” Lalu lelaki itu berkata, “Sesungguhnya aku tinggal bersamanya di dalam satu rumah.” Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda, “Engkau perlu meminta izin daripadanya.” Lelaki itu berkata, “Sesungguhnya aku adalah khadim (pembantu atau pelayan) kepadanya.” Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda, “Engkau perlu meminta izin daripadanya. Apakah engkau suka melihatnya dalam keadaan tidak berpakaian (ketika engkau masuk tanpa meminta izin terlebih dahulu)?” Lelaki itu berkata, “Tidak.” Lalu Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda (dengan tegas), “Maka hendaklah engkau meminta izin daripadanya.”
────୨ৎ────
Seorang lelaki telah datang kepada Sayyidina ‘Abdullah ibn Mas’ud, lalu dia bertanya kepada beliau, “Apakah aku perlu meminta izin kepada ibuku (untuk masuk ke rumah atau biliknya)?” Maka Sayyidina ‘Abdullah ibn Mas’ud menjawab, “Bukan dalam semua keadaan engkau suka untuk melihat ibumu.”
Zainab, isteri kepada Sayyidina ‘Abdullah ibn Mas’ud berkata, “Adalah Sayyidina ‘Abdullah ibn Mas’ud apabila pulang daripada satu urusan, dia akan berhenti di pintu dan berdehem. Ini kerana dia tidak mahu terserempak dengan kami dalam keadaan yang dia tidak sukai.”
────୨ৎ────
Dalam riwayat lain oleh Ibn Majah, pada akhir kitab Ath-Thibb (di dalam Sunannya), “Adalah Sayyidina ‘Abdullah ibn Mas’ud apabila memasuki (rumah), dia akan berdehem dan bersuara.”
Seorang lelaki telah bertanya kepada Sayyidina Huzaifah ibn Al-Yamani dengan berkata, “Apakah perlu aku meminta izin (untuk masuk) bertemu ibuku?” Beliau menjawab, “Ya perlu, kerana sekiranya engkau tidak meminta izin (untuk masuk) menemuinya, nescaya engkau akan melihat sesuatu yang tidak engkau sukai.”
Seorang tabi’in, anak kepada seorang Sahabat iaitu Musa ibn Thalhah ibn ‘Ubaidillah telah berkata, “Aku pernah masuk bersama ayahku menemui ibuku, beliau masuk dahulu dan aku mengikutinya. Kemudian dia menoleh ke arahku seraya menolak dadaku sehingga aku terduduk di tanah. Dia lalu berkata, ‘Apakah engkau ingin masuk tanpa meminta izin (terlebih dahulu)?’”
Nafi’, bekas hamba kepada Sayyidina ‘Abdullah ibn ‘Umar berkata, “Adalah Sayyidina ‘Abdullah ibn ‘Umar apabila sebahagian anaknya telah sampai ke umur baligh (yakni telah matang), dia akan mengasingkan anak tersebut (yakni mengasingkan dari biliknya). Oleh itu, dia (anaknya) tidak dapat masuk berjumpa Sayyidina ‘Abdullah ibn ‘Umar melainkan dengan keizinan (terlebih dahulu).”
────୨ৎ────
Ibn Juraij telah menghikayatkan daripada ‘Atho ibn Abi Rabah, dia telah berkata, “Aku pernah bertanya kepada Sayyidina Ibn ‘Abbas, ‘Apakah aku perlu meminta izin daripada dua saudara perempuanku?’ Beliau menjawab, ‘Ya.’ Aku berkata lagi, ‘(Adakah aku masih perlu meminta izin sedangkan) kedua-duanya berada di dalam bilikku (yakni di dalam rumah dan penjagaanku) dan akulah yang menanggung serta menafkahi mereka?’ Sayyidina Ibn ‘Abbas berkata, ‘Adakah engkau suka melihat mereka dalam keadaan bertelanjang (yakni berpakaian tidak sempurna)?’
Kemudian Sayyidina Ibn ‘Abbas membacakan ayat (yang bermaksud), ‘Dan apabila kanak-kanak kamu telah baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang (yang telah cukup umur) yang tersebut dahulu, meminta izin.’ (Surah an-Nur: 59) Sayyidina Ibn ‘Abbas berkata, ‘Perkataan ‘izin’ iaitu meminta keizinan itu wajib ke atas manusia keseluruhannya.'”
────୨ৎ────
Sayyidina Ibn Mas’ud berkata, “Seseorang itu perlu meminta izin kepada ayahnya, ibunya, saudara lelakinya dan saudara perempuannya.”
Sayyidina Jabir berkata, “Seseorang itu perlu meminta izin kepada anak dan ibunya – walaupun ibunya telah tua (lanjut usia), juga saudara lelaki, saudara perempuan dan bapanya.”
Imam Al-Bukhari telah meriwayatkan banyak daripada atsar-atsar (yakni kata-kata atau perbuatan para Sahabat) di dalam kitab Al-Adab Al-Mufrad. Ibnu Katsir pula telah menyebut sebahagian atsar di dalam tafsirnya ketika menafsirkan ayat tersebut (iaitu Surah an-Nur: 59).