Siapakah yang Layak Menerima Daging Korban?

Siapakah yang Layak Menerima Daging Korban?

Ibadah korban menuntut lebih daripada sekadar niat yang baik; ia perlu dilaksanakan dengan kefahaman yang tepat sebagaimana yang digariskan syariat. Tanpa panduan yang sahih, ibadah ini berisiko tersasar daripada kehendak syarak, sekali gus menghilangkan nilai ibadah yang sebenar.

Berikut merupakan panduan terhadap pengagihan daging korban.

PENGAGIHAN DAGING KORBAN SUNAT

WAJIB

Untuk fakir miskin. Sekurang-kurangnya sekadar seketul daging yang cukup untuk sekali makan dan ada nilai iaitu setengah kati (300gm).

SUNAT

Untuk orang kebanyakan yang beragama Islam. Tidak kira sama ada orang miskin atau kaya.

HARUS

Untuk orang yang berkorban. Dia boleh mengambilnya dan boleh juga dijadikan sedekah. Itulah yang afdhal.

PENGURUSAN DAGING KORBAN

• Daging korban wajib termasuklah tanduk, kulit dan kakinya wajib disedekahkan kesemuanya kepada fakir miskin.

• Orang yang berkorban wajib dan juga mereka yang di bawah nafkahnya tidak boleh memakan sedikit pun dari korban itu.

• Jika ada yang memakannya walaupun sedikit, maka wajib menggantikannya kepada fakir miskin dengan daging yang lain atau dibayar harganya kepada fakir miskin. [Hashiyah al-Bajuri 4/378 & 383 dan I’anah at-Tholibin 2/333]

• Wajib dilakukan pengasingan antara daging bahagian korban wajib (nazar) daripada daging bahagian korban sunat, aqiqah, hadiah atau daging sembelihan untuk dijual, sebelum diagihkan kepada penerima jika terjadi perkongsian sedemikian. Langkah ini amat penting kerana daging korban wajib (nazar), hendaklah diagihkan kesemuanya kepada yang berhak (fakir miskin). Dan tidak boleh diberikan kembali kepada orang yang berkorban atau orang-orang yang wajib ditanggung nafkahnya, atau wakilnya dan juga orang kaya. [Hashiyah al-Bajuri 4/379]

HUKUM PENERIMA DAGING KORBAN

  • Fakir miskin yang menerima sedekah korban ada hak pemilikan pada daging dan semua bahagian haiwan korban yang diterima. Mereka boleh menjualnya kepada orang Islam yang lain. Namun begitu, haram menjualnya kepada orang kafir.
  • Orang kaya yang mendapat hadiah daging korban atau mana-mana bahagian dari haiwan korban tidak ada hak pemilikan pada apa yang diterima. Mereka hanya boleh makan atau sedekah atau hadiah kepada orang lain. Haram mereka menjualnya kepada orang lain.
  • Tidak boleh memberi daging korban kepada orang bukan Islam. Jika ada yang diberi, maka boleh diganti dengan membeli daging segar yang lain dan diserahkan kepada orang fakir. [Hashiyah al-Bajuri 4/382, l’anah at-Thalibin 2/556-558 dan Bughyah al-Mustarsyidin 4/341]

Semoga setiap pengorbanan yang dilakukan mendapat reda Allah dan diterima sebagai amal soleh.  

Related products