Adab-Adab Berpuasa

Adab-Adab Berpuasa

Setiap orang yang berpuasa mempunyai tatatertib. Tidaklah sempurna puasa itu tanpa tatatertibnya.

Antara tatatertib yang terpenting adalah memelihara lidah agar tidak berdusta, mencaci, mencampuri urusan orang lain serta mengekang mata atau telinga daripada melihat atau mendengar sesuatu yang tidak halal, dan yang tidak ada kaitan dengan dirinya.

Selanjutnya, hendaklah dia menahan perut daripada makanan yang haram dan syubhah, terutama sekali ketika saat berbuka puasa. Dia wajib mencari makanan yang halal untuk berbuka.

Meninggalkan maksiat hukumnya wajib selama-lamanya bagi orang yang berpuasa dan tidak berpuasa. Namun, bagi orang yang berpuasa adalah lebih wajib memelihara diri, kerana ia sangat dituntut dan ditekankan.

Antara tatatertib puasa yang lain adalah hendaklah orang yang berpuasa itu tidak terlalu banyak tidur pada waktu siang dan terlalu banyak makan pada waktu malam. Hendaklah dia sederhana dalam kedua-dua perkara tersebut, agar dia dapat merasakan pedihnya lapar dan dahaga. Dengan begitu, jiwanya akan terdidik, syahwatnya akan berkurang dan hatinya akan bercahaya. Di situlah letak rahsia dan tujuan berpuasa yang sebenarnya.

Selanjutnya hendaklah dia meninggalkan segala bentuk kemewahan dalam semua hal, memperbanyak makanan dan minuman yang memancing selera dan yang lazat-lazat.

Antara tertibnya yang lain adalah hendaklah tidak terlalu banyak melibatkan diri dalam urusan dunia pada bulan Ramadhan. Sebaliknya, hendaklah dia menumpukan dirinya untuk beribadat kepada Allah sebanyak-banyaknya dan berzikir semampunya. Dia sepatutnya tidak mengusahakan sesuatu urusan dunia, melainkan yang perlu untuk dirinya dan orang yang berada di bawah tanggungannya, seperti anak, isteri dan sebagainya.

Ini kerana bulan Ramadhan apabila dibandingkan dengan bulan yang lain, adalah seperti kelebihan hari Jumaat ke atas hari-hari lain. Maka adalah wajar bagi setiap Mukmin mengkhususkan hari Jumaat dan bulan Ramadhan untuk mengumpulkan bekalan akhiratnya.

Antara yang sunat bagi orang yang berpuasa adalah menyegerakan berbuka puasa. Yang paling baik adalah dimulai dengan buah kurma. Jika tidak ada, maka berpada dengan air tawar. Nabi صلى الله عليه وسلم berbuka dahulu sebelum menunaikan Solat Maghrib.

Daripada ini jelas bahawa mengakhirkan makan sahur bagi orang yang berpuasa menjadi amalan sunat.

Orang yang berpuasa hendaklah membiasakan diri dengan sedikit makan sehingga kesan puasa itu dapat dirasa. Dia akan memperoleh rahsia dan tujuan berpuasa; iaitu mendidik jiwa dan mengendalikan nafsu syahwat. Ini kerana berlapar-lapar dan mengosongkan perut itu meninggalkan kesan yang baik untuk menerangi hati nurani serta menimbulkan semangat pada anggota tubuh untuk beribadah. Sementara perut yang kenyang merupakan sumber segala kekerasan dan kelalaian hati, dan menimbulkan perasaan malas beribadah.

“Tidak ada suatu saluran yang dipenuhi oleh anak Adam yang lebih buruk daripada perutnya. Memadailah bagi anak Adam itu beberapa suap untuk menyambung hidupnya. Jika ini tidak mencukupi, maka hendaklah satu pertiga untuk makannya, satu pertiga untuk minumnya dan satu pertiga lagi untuk pernafasannya.” (Riwayat Imam Ahmad, At-Tirmizi dan lainnya)

Sebahagian ahli hikmah berkata, “Jika perut kenyang, laparlah seluruh anggota tubuh. Dan jika perut lapar, kenyanglah seluruh anggota tubuh.”

Antara yang sangat dianjurkan adalah mengundang orang yang berpuasa untuk berbuka puasa sekalipun dengan beberapa biji kurma, ataupun dengan sedikit air. Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda:

Related products