Tajuk ini membawa fokus kepada panduan akhlak dan tingkah laku yang perlu dijaga oleh setiap jemaah sepanjang berada di Tanah Suci. Ia bukan sekadar menyentuh rukun dan ibadah Haji, tetapi juga etika moral, kesopanan, dan akhlak yang mencerminkan penghormatan terhadap tempat suci, jemaah lain, serta kesedaran bahawa ibadah Haji adalah perjalanan spiritual yang menuntut kesabaran, kesederhanaan dan kawalan diri.
1. Perlahankan suara dan berkelakuan sopan.
Ia menjadi peringatan bahawa perkara kecil seperti suara kuat, tawa berlebihan dan berkelakuan tidak sopan boleh mengundang fitnah serta membuka pintu kepada bisikan hati dan pandangan yang tidak baik.
2. Peringatan tentang “Zina Pancaindera”
- Berdasarkan hadis Sahih Muslim, zina bukan hanya melibatkan perbuatan fizikal.
- Mata, telinga, lidah, tangan, kaki dan hati juga boleh melakukan zina jika tidak dijaga.
- Pemandangan yang tidak menepati syariat boleh membawa kepada dosa tanpa kita sedari.
3. Menjaga tingkah laku dengan baik.
Jika ingin mengambil momen terindah ketika berada tanah suci, lakukan dalam keadaan yang tenang dan sunyi. Elakkan melakukan perbuatan yang boleh mengganggu jemaah lain yang sedang solat atau membaca Al-Quran.
4. Solat di ruang khas bagi wanita.
Solatlah di ruang petak khas yang telah disediakan buat jemaah wanita. Hal ini kerana untuk mengelakkan fitnah yang mungkin terjadi. Kemudian, berkongsi atau lapangkan ruang yang ada bagi memberi ruang kepada jemaah haji yang lain untuk beribadah.
5. Menutup aurat dengan sempurna.
Sudah tentu menjaga aurat adalah kewajipan yang perlu dipraktikkan setiap hari, bukan hanya ketika menunaikan ibadah haji. Oleh itu, pakaian yang dipakai hendaklah benar-benar menutup aurat, tidak ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh, serta tidak nipis sehingga memperlihatkan apa yang sepatutnya disembunyikan.
Kesimpulannya, tanah suci bukan sekadar tempat ziarah, ia tempat penyucian jiwa dan pembentukan akhlak. Jemaah sangat dituntut menjaga maruah, akhlak dan adab ketika di hadapan Kaabah. Semoga kita menjadi hamba yang tunduk, tawaduk dan dambaan syurga Allah.